Syukur alhamdulillah.... Ramadhan yang dinanti tiba lagi. Moga Allah memberi kekuatan, semangat dan kesihatan yang baik untuk menjalani ibadah puasa serta ibadat-ibadat lain yang dituntut sepanjang Ramadhan yang bakal tiba esok buat diri ini, keluarga dan semua umat Islam.
Seminggu sebelum Ramadahan tiba, saya diberi kesempatan memberikan sedikit tazkirah ringkas mengenai kehebatan bulan Ramadhan dengan tujuan agar setiap kita menjadikan ianya sebagai bulan yang sentiasa dinantikan kehadirannya.
Sebagai insan yang serba kekurangan, payah rasanya nak menyahut amanah yang diberi. Bagaimana pun, demi tanggungjawab saya laksanakan juga. Sambil menyampaikan tazkirah, saya turut mengalunkan ayat-ayat al Quran yang berkaitan dengan anjuran berpuasa serta bangun malam. Maha Suci Mu ya Allah!... moga keindahan ayat-ayat suci-Mu bisa menyentuh sanubari pendengar, dalam penyampaian saya yang sesederhana ini.
Secara umumnya, tazkirah saya berkisar kepada sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan keberkahan, Allah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapus dosa-dosa dan mengabulkan doa. Allah melihat berlomba-lombanya kamu pada bulan ini dan membanggakanmu kepada para malaikat-Nya, maka tunjukkanlah kepada Allah hal-hal yang baik dari dirimu, kerana orang yang sengsara ialah yang tidak mendapatkan rahmat Allah di bulan ini." (HR At-Tabrani)
Terdapat 8 kelebihan bulan Ramdahan:
1. Syahrun Azhim (Bulan Yang Agung)
'Azhim' dalam bahasa arab digunakan untuk menunjukkan kekaguman terhadap kebesaran dan kemuliaan sesuatu. Sesuatu yang diagungkan Rasulullah SAW tentulah memilikki nilai yang jauh lebih besar dan sangat mulia berbanding dengan sesuatu yang diagungkan oleh kita manusia biasa. Mengapa baginda mengagungkan bulan ini? Ianya kerana Allah SWT juga mengagungkan bulan ini.
Firman Allah SWT surah Al Hajj: 32
"Demikianlah (perintah Allah SWT). Dan barangsiapa mengaungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketaqwaan hati."
Ramadahan diagungkan oleh Allah SWT kerana pada bulan inilah Allah SWT mewajibkan puasa sebagai salah satu dari lima rukun Islam. Allah Yang Maha Pemurah Penyayang telah menetapkan dan mensucikan bulan ini dan kemudiannya memberikan segala kemurahan, kasih sayang, dan kemudahan bagi hamba-hamba yang ingin mendekatkan diri kepada-Nya.
2. Syahrul Mubarak (Bulan Keberkatan)
Bulan ini penuh keberkatan dan manfaat. Detik demi detik di bulan suci ini bagaikan rangkaian berlian yang sangat berharga bagi orang beriman kerana semua perbuatan kita ketika berpuasa menjadi ibadah berpahala yang balasannya langsung dari Allah SWT. Amal baik sekecil mana sekalipun akan dilipat gandakan asalkan ikhlas.
Keberkatan bulan Ramadhan secara kasar dibahagikan kepada 3 bahagian ; iaitu 10 malam pertama yang dipenuhi rahmat Allah SWT, 10 malam berikutnya diisi dengan pengampunan (maghfirah), manakala 10 malam terakhir merupakan pembebasan manusia dari api neraka. Keberkatan yang Allah SWT berikan ini akan dicapai sekiranya kita menggunakan waktu yang terhad untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT sebagaimana saranan Rasulullah SAW.
"Setiap amal yang dilakukan anak Adam adalah untuknya, dan satu kebaikan dibalas 10x ganda bahkan sampai 700x ganda. Allah Ta'ala berfirman:"Kecuali puasa, itu untuk-Ku dan Aku yang langsung membalasnya. Ia telah meninggalkan syahwat, makan dan minumnya kerana-Ku". Orang yang berpuasa mendapat 2 kesenangan, iaitu kesenagan ketika berbuka puasa dan kesenangan ketika berjumpa dengan Tuhanya. Sungguh, bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada wangian kasturi." (HR Bukhari dan Muslim)
3. Syahru Nuzulil Qur'an (Bulan Quran Diturunkan)
Allah SWT mengistimewakan Ramadhan sekaligus menyediakan sasaran terbesar, iaitu menjadikan AlQuran sebagai pedoman hidup.
Firman Allah SWT : Albaqarah ayat 185 bermaksud:
"Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan furqan (pembeda di antara yang hak dan yang batil)"
Ayat di atas menjelaskan bahawa tujuan utama amalan pada bulan Ramadhan ialah membentuk insan bertakwa yang menjadikan Kitabullah sebagai manhajul hayat (pedoman hidup). Dapat dikatakan bahawa Ramadhan tidak dapat dipisahkan dengan Al-Quran. Rasulullah menerima wahyu pertama pada bulan Ramadhan dan setiap bulan Ramadhan, Malaikat Jibril AS akan datang sehingga dua kali untuk menguji hafalan dan pemahaman Rasulullah SAW terhadap Al-Quran.
4. Syahrus Siyam (Bulan berpuasa)
Allah menyebut kewajipan berpuasa di dalam al Quran surah al-Baqarah : 183 bermaksud
" Hai orang-orang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa."
Surah al Baqarah :185
Kerana itu, barangsipa di antara kamu hadir di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa di bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur."
Jadi , untuk mencapai kesempurnaan puasa, selain menahan diri dari makan, minum dan jimak, kita juga perlu menahan diri dengan meninggalkan perbuatan maksiat dan yang makruh.
5. Syahrul Qiyam (bulan berjaga malam)
Bulan Ramadhan menggalakkan umat Islam untuk melakukan amalan orang-orang soleh seperti solat dan membaca Al-Quran. Di bulan Ramadahan, setiap mukmin sangat dianjurkan melakukan solat tarawih dan witir sebagai latihan agar mampu mengamalkan qiyamullail di luar bulan Ramadhan.
Anjuran bangun malam ini Allah sebut khusus dalam surah Al Muzzamil:
Sabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa mendirikan solat malam di bulan Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala, niscaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu." (HR Muttafaqun 'Alaih)
6. Syahrus Sabr (Bulan Sabar)
Bulan Ramadhan melatih jiwa Muslim untuk sentiasa sabar, tidak mengeluh dan tahan diuji di dalam keadaan lapar dan dahaga. Sabar adalah kekuatan jiwa dari segala bentuk kelemahan mental dan spiritual. Orang yang sabar akan bersama Allah SWT sedangkan balasan orang0orang yang sabar adalah syurga.
Sabar lahir bersama segala bentuk kerja besar yang berisiko seperti dalam dakwah dan jihad fi sabilillah. Ramadhan melatih Muslim beramal islami dalam berjamaah untuk meninggikan kalimah Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW: bermaksud
"Puasa itu setengah kesabaran. Kesabaran itu setengah dari iman." (HR Tirmidzi, Abu Na'im dan Abu Mas'ud)
7. Syahrul Musawwah (Bulan Santunan)
Surah Al-Baqarah : 261
"Ramadhan menjadi bulan santunan apabila orang-orang beriman sedar sepenuhnya bahawa puasa mendidik mereka untuk memilikki rasa simpati terhadap golongan fakir miskin kerana merasakan lapar dan dahaga sebagaimana yang biasa dirasai oleh golongan tersebut. Kerana itu kaum Muslimin dianjrkan supaya sentiasa bermurah hati untuk membantu golongan yang memerlukan. Sifat memberi tanpa mengharapkan balasan harus ditanam di dalam setiap diri Muslim"
Anjuran agar kita bersedekah disebut dalam surah Yusuf:
"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan 7 tangkai, dan tiap-tiap tangkai ada 100 biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakinya."
Perumpamaan : Sedeqah mempunyai kelebihan yang amat banyak, di antaranya adalah seperti berikut: menggandakan kebaikan, ganjaran yang besar, menolak bala, meredakan kemurkaan Allah, menyelamatkan diri dari api neraka, memanjangkan umur, melembutkan hati, melenyapkan perasaan takabur & angkuh, dan akhirnya menerima ganjaran amalan yang berkekalan dan berterusan."
"Nabi SAW adalah orang yang paling dermawan, dan beliau lebih dermawan pada bulan Ramadhan, saat beliau ditemui Jibril untuk membacakan kepadanya Al-Quran. Jibril menemui beliau setiap malam pada bulan Ramadhan, lalu membacakan kepadanya Al-Quran. Rasulullah SAW ketika ditemui Jibril lebih dermawan dalam kebaikan daripada angin yang berhembus." (HR Bukhari dan Muslim)
8. Syahrul Yuzdaadu filhi Rizqul Mu'min (Bulan Rezeki Untuk Orang2 Mukmin)
Bulan ini rezeki orang-orang beriman bertambah kerana segala kemudahan dibuka oleh Allah SWT seluas-luasnya. Para peniaga akan beruntung, orang yang menjadi pekerja mendapat kelebihan pendapatan dan sebagainya. Namun rezeki terbesar adalah hidayah Allah SWT kemudian hikmah dan ilmu yang begitu mudah diperolehi di bulan yang mulia ini.
SALAM RAMADHAN AL KAREEM DARI SAYA....