Sunday, 17 May 2015

BILA SUDAH JODOHNYA MENJADI ISTERI KEDUA

Salam kasih sayang fillah buat semua... semoga kita semua sentiasa mencari cinta dan jadi kecintaan Nya selalu.
Photo by Idham; Cameron Highlands 2014
Hari ini rasa terpanggil lagi nak berkongsi kisah hidup Lis seorang isteri kedua. Bukan berniat untuk membuka aib sesiapa, tetapi ianya adalah kisah benar masyarakat yang pada saya perlu untuk kita paparkan agar misal padanya ada pengajaran ambillah sebagai panduan. Namun andai padanya ada kesilapan, ambillah sebagai pengajaran.

Berusia awal 30an, gadis cantik bernama Lis seorang pendidik ini sedar jodohnya sudah agak terlewat berbanding rakan lain yang sudah bersuami malahan ramai juga temannya yang sudah mempunyai cahayamata. Entah dimana silapnya. Keadaan itu menyebabkan Lis terkadang agak rendah diri untuk hadir dalam pertemuan sesama sahabat taulan, kerana soalan yang sering diajukan 'Lis... bila nak kahwin?'. 
"Hurmmmm... awatlah diorang ni tak faham, jodoh pertemuan di tangan Tuhan, macamlah aku boleh senang-senang kahwin," gerutu hati Lis geram :(

Itulah kan, dilemanya, tak kahwin susah, dah kahwin pun ada juga peningnya. Kalau dengar cakap orang memang tak ada kesudahannya. Ditakdir Allah, Lis bertemu dengan seorang jejaka berumur awal 40an. SUAMI ORANG. Bekerja di bidang yang sama, tetapi mempunyai kedudukan yang tinggi di Kementerian dan berpengaruh membuat sesiapa pun ingin mendekati beliau. Apa lagi, dianugerahkan rupa paras yang kacak, sopan bersantun butir bicara. Isteri pun jadi tak keruan kalau tahu suami punya peminat di luar. Farid memang seorang suami dan ayah yang penyayang. 

Pertemuan Lis dan Farid; membuahkan bibit cinta yang tidak dapat dinafi. Namun; perhubungan sukar untuk diteruskan kerana isteri Farid sangat tidak boleh menerima orang ketiga dalam hidup mereka. TAPI KALAU SUDAH JODOH, ketentuan Allah tak siap kuasa menghalang. Pernikahan mereka dilakukan secara senyap, di Thailand. Entah kenapa Lis tidak berfikir panjang, hanya menerima segala syarat yang diberi oleh Farid tanpa memikirkan kesannya. Benarlah kata pepatah; CINTA ITU BUTA.

Antara perkara yang perlu Lis akur setelah bergelar isteri adalah:
  1. Pernikahan mereka tidak boleh diketahui sama sekali oleh isteri pertama Farid
  2. Tiada janji giliran bermalam untuk Lis, pertemuan dan perjumpaan mereka dilakukan tanpa pengetahuan isteri pertama . Hanya akan dilakukan pada kesempatan yang ada.
  3. Farid berjanji untuk mendaftarkan pernikahan mereka setelah kembali ke Malaysia
Di awal pernikahan;segalanya indah. Suasana percintaan yang sangat mekar. Bahagia amat pasangan ini walaupun bertemu hanya sesekali. Hari, dan bulan demi bulan berlalu, janji Farid untuk mendaftarkan pernikahan mereka hanya janji manis di mulut. Bila Lis ajukan persoalan itu, Farid sentiasa berdalih dengan alasan sibuk, alasan kedudukannya akan tergugat sekiranya diketahui rakan berkahwin secara sembunyi, bimbang diketahui isteri pertama dan pelbagai lagi. Semakin banyak persoalan itu dikemukan, boleh jadi bergaduh dibuatnya.

Farid hanya akan mendatangi Lis secara curi-curi dalam waktu bekerja. Dan Lis pula, hanya berkesempatan untuk bermalam dengan suami bila suami 'outstation'. "Suami akan beritahu Lis, di hotel mana dia menginap dan Lis akan ke kaunter untuk ambil kunci bilik" , cerita Lis pada saya. Begitulah rutin mereka. Dan sehingga kini, telah 2 tahun Lis bergelar isteri kedua, dia masih kekal pada kedudukannya. "Bagaimana kalau ditakdirkan kalian punya anak?", pernah saya ajukan persoalan itu padanya. Pada Lis , malas untuk dia memikirkan perkara itu, serah sahaja kepada takdir kerana lebih baik dia menumpu untuk mencipta senyuman setiap hari dari memikir masalah yang hanya menimbul amarah suami. "Tak larat nak bergaduh hari-hari kak", katanya. 

Akhirnya, Lis sendiri menjadi penat. Namun cinta masih membara. Kedengarannya seperti bodoh kerana mendambakan perhubungan yang sudah nyata ada penipuannya. Tapi, perasaan cinta itu terlalu unik, kesabaran Lis juga masih utuh dalam menghadapi persoalan itu. Siapakah yang empunya rasa, menganugerah CINTA, memberi KETAHANAN dan KEKUATAN seperti itu, kalau bukan YANG MAHA ESA?

Saya sendiri terasa lelah mendengar kisah rumahtangga mereka; pun di dalam hati sangat mengagumi Lis, hebatnya wanita ini, KESABARAN dan KETABAHANNYA. 

Allah... ya Allah.. KAU permudahkanlah dan anugerahkanlah RAHMAT MU pada sahabatku ini dan jadikanlah dia bakal bidadari di surgaMu kelak.

Credit photo by Along; Penang 2013
Padanya, ada pengajaran.... Berkongsi bagaimana Lis bisa teguh sedemikian rupa.

CINTA TIDAK SEMESTINYA BERTEMU
CINTA TIDAK SEMESTINYA BERSAMA
DIMENSI CINTA ADALAH UKURAN RASA, 
BUKAN JARAK YANG JAUH @ MASA YANG PANJANG @ PENDEK

Kenapa jiwa jadi resah , jadi gelisah? Kesusahan dan kegundahan yang ditemukan di dalam hidup dan kehidupan ialah disebabkan kerana HATI yang TIDAK BERHUBUNGAN dengan ALLAH, apalagi mata hati tidak melihat ALLAH dalam erti yang sangat luas lapangannya. Ada hubungan cinta dengan Allah, ada hubungan yang meliputi rasa takut dengan Allah, ada hubungan terasa kagum melihat keindahan Allah dan sebagainya. Kerana itu jagalah CINTA ALLAH, jangan sampai NAFSU terpengaruh dengan HATI. Segalanya akan terasa mudah...

Insya Allah.....

Sunday, 10 May 2015

KERABU BUNGA BETIK

BARAKALLAH..... syukur ya Allah dia atas segala nikmat dan rahmat Mu sehingga hari ini masih mampu diri ini menyedut udara bernafas dan merasakan indahnya iman pada MU.

Sekadar berkongsi pada hari ibu yang jatuhnya pada hari ini 10 Mei 2015. Pastinya semua ibu ternanti-nanti serungkai kata ucapan SELAMAT HARI IBU dari anak-anak. Sebagaimana ibu-ibu lain diraikan, teringin juga dihati untuk merasa penghargaan sedemikian pada hati setiap ibu.

Apapun, bagi saya....setiap hari adalah hari ibu, hari bapa. Ibu yang melahirkan, merekalah yang membesarkan , mendidik, memberi kasih sayang, penuh ihsan dan kasih sayang membesarkan kita. Justeru adalah menjadi kewajipan, untuk setiap anak mengingati, menghargai, menyayangi kedua ibubapa. Mana mungkin sehari pun melupakan mereka. Sekalipun bukan hadiah beribu ringgit nilainya, tapi cukup buat ibubapa yang ikhlas doa tulus sang anak buat mereka yang tidak pernah putus. Sekurang-kurangnya dalam kesibukan mana sekalipun, sedekahkanlah al Fatihah setiap hari buat ibubapa yang kita kasihi. 
RABBI FIRLI WALI WALIDAIYA WARHAMHUMA KAMA RABBAYANI SHOGHIRO....

Hari ni sebenarnya nak sharing resepi kerabu bunga betik. Sangat 'old timer' resepi ni sebenarnya. Budak-budak muda sekarang ramai yang tak reti/tak suka nak makan bunga betik. Selain rasanya yang pahit, makanan ni memang lah kurang glamour berbanding pizza dan burger. Kalaulah mereka tahu khasiatnya, mesti takkan lepaskan peluang menikmatinya. Apapun pahit tu boleh di atasi bagi yang tak suka rasa pahit.


Saya senaraikan dulu BAHAN-BAHANNYA:

1. Seikat bunga betik (anggaran 500 grams) direbus sehingga lembut
2. Sebiji buah tomato dipotong-potong kecil
3. 1 kilo kerang direbus dan dikopek kulitnya dan dituskan)
4. 1 cawan kerisik
5. 1 inci belacan bakar              
6. 1 labu bawang besar bakar
7. 3 biji cili padi
8. Sedikit garam
9. Sedikit gula

# Nota:
  a. Bahan 6 hingga 10 ditumbuk sehingga halus
  b. Petua supaya bunga/daun betik tidak pahit; direbus dengan daun jambu batu @ daun ubi kayu @ asam keping

CARANYA:

Gaulkan kesemua bahan-bahan di atas sehingga kesemua rata dan mesra. Untuk rasa manis dan masin boleh ditambah/kurangkan kadar gula dan garam dalam adunan tersebut. 


KHASIAT YANG TERKANDUNG DALAM RESEPI INI:

1. Bunga betik:
  • mengawal dan menurunkan hypertension/darah tinggi
  • memudahkan sistem penghadaman
  • mengawal jarak anak (perancang keluarga secara alami)
  • merawat sakit dada
  • meransang pengeluaran darah haid
  • membantu mengandakan pengeluaran sel darah baru (baik untuk pesakit denggi)
2. Tomato:
  • Pengawalan Berat Badan sebab tomato mengandungi lemak rendah serta tiada kolesterol . Ia turut mengandungi banyak air serta serat yang mampu untuk mengenyangkan perut. 
  • Membantu Masalah Susah Tidur atas kandungan sumber nutrisi lycopene
  • Mengurang Kerosakan Kulit  kerana sumber nutrisi lycopene juga dapat membantu dalam pemulihan kulit. 
  • Membantu Penglihatan Mata kerana kandungan vitamin A dan C yang terdapat dalam tomato dapat membantu pemulihan penglihatan mata serta mengurangkan dari terjadinya rabun malam. Ianya turut menghalang penyakit mata macular degenerationyang menyebabkan kesukaran untuk melihat
  • Merawat Batu Karang , pengambilan tomato secara berterusan dapat memberi kelegaan kepada kesakitan akibat batu karang.

3. Kerang :
  • membantu mengurangi resiko terkena serangan jantung dan serangan stroke. 
  • membantu menyembuhkan penyakit hepatitis
  • mendapatkan efek pemulihan yang dua kali lebih cepat jika anda terserang hepatitis
  • Kerang juga dikaitkan dengan vitalitas kaum lelaki.
  • menggalakkan sensitiviti libido wanita
Subhanallah... banyak sangat khasiatnya kann.. CUBA JANGAN TAK CUBA!!!! Memang terBAIK!!!