Showing posts with label WORDS OF WISDOM. Show all posts
Showing posts with label WORDS OF WISDOM. Show all posts

Sunday, 17 May 2015

BILA SUDAH JODOHNYA MENJADI ISTERI KEDUA

Salam kasih sayang fillah buat semua... semoga kita semua sentiasa mencari cinta dan jadi kecintaan Nya selalu.
Photo by Idham; Cameron Highlands 2014
Hari ini rasa terpanggil lagi nak berkongsi kisah hidup Lis seorang isteri kedua. Bukan berniat untuk membuka aib sesiapa, tetapi ianya adalah kisah benar masyarakat yang pada saya perlu untuk kita paparkan agar misal padanya ada pengajaran ambillah sebagai panduan. Namun andai padanya ada kesilapan, ambillah sebagai pengajaran.

Berusia awal 30an, gadis cantik bernama Lis seorang pendidik ini sedar jodohnya sudah agak terlewat berbanding rakan lain yang sudah bersuami malahan ramai juga temannya yang sudah mempunyai cahayamata. Entah dimana silapnya. Keadaan itu menyebabkan Lis terkadang agak rendah diri untuk hadir dalam pertemuan sesama sahabat taulan, kerana soalan yang sering diajukan 'Lis... bila nak kahwin?'. 
"Hurmmmm... awatlah diorang ni tak faham, jodoh pertemuan di tangan Tuhan, macamlah aku boleh senang-senang kahwin," gerutu hati Lis geram :(

Itulah kan, dilemanya, tak kahwin susah, dah kahwin pun ada juga peningnya. Kalau dengar cakap orang memang tak ada kesudahannya. Ditakdir Allah, Lis bertemu dengan seorang jejaka berumur awal 40an. SUAMI ORANG. Bekerja di bidang yang sama, tetapi mempunyai kedudukan yang tinggi di Kementerian dan berpengaruh membuat sesiapa pun ingin mendekati beliau. Apa lagi, dianugerahkan rupa paras yang kacak, sopan bersantun butir bicara. Isteri pun jadi tak keruan kalau tahu suami punya peminat di luar. Farid memang seorang suami dan ayah yang penyayang. 

Pertemuan Lis dan Farid; membuahkan bibit cinta yang tidak dapat dinafi. Namun; perhubungan sukar untuk diteruskan kerana isteri Farid sangat tidak boleh menerima orang ketiga dalam hidup mereka. TAPI KALAU SUDAH JODOH, ketentuan Allah tak siap kuasa menghalang. Pernikahan mereka dilakukan secara senyap, di Thailand. Entah kenapa Lis tidak berfikir panjang, hanya menerima segala syarat yang diberi oleh Farid tanpa memikirkan kesannya. Benarlah kata pepatah; CINTA ITU BUTA.

Antara perkara yang perlu Lis akur setelah bergelar isteri adalah:
  1. Pernikahan mereka tidak boleh diketahui sama sekali oleh isteri pertama Farid
  2. Tiada janji giliran bermalam untuk Lis, pertemuan dan perjumpaan mereka dilakukan tanpa pengetahuan isteri pertama . Hanya akan dilakukan pada kesempatan yang ada.
  3. Farid berjanji untuk mendaftarkan pernikahan mereka setelah kembali ke Malaysia
Di awal pernikahan;segalanya indah. Suasana percintaan yang sangat mekar. Bahagia amat pasangan ini walaupun bertemu hanya sesekali. Hari, dan bulan demi bulan berlalu, janji Farid untuk mendaftarkan pernikahan mereka hanya janji manis di mulut. Bila Lis ajukan persoalan itu, Farid sentiasa berdalih dengan alasan sibuk, alasan kedudukannya akan tergugat sekiranya diketahui rakan berkahwin secara sembunyi, bimbang diketahui isteri pertama dan pelbagai lagi. Semakin banyak persoalan itu dikemukan, boleh jadi bergaduh dibuatnya.

Farid hanya akan mendatangi Lis secara curi-curi dalam waktu bekerja. Dan Lis pula, hanya berkesempatan untuk bermalam dengan suami bila suami 'outstation'. "Suami akan beritahu Lis, di hotel mana dia menginap dan Lis akan ke kaunter untuk ambil kunci bilik" , cerita Lis pada saya. Begitulah rutin mereka. Dan sehingga kini, telah 2 tahun Lis bergelar isteri kedua, dia masih kekal pada kedudukannya. "Bagaimana kalau ditakdirkan kalian punya anak?", pernah saya ajukan persoalan itu padanya. Pada Lis , malas untuk dia memikirkan perkara itu, serah sahaja kepada takdir kerana lebih baik dia menumpu untuk mencipta senyuman setiap hari dari memikir masalah yang hanya menimbul amarah suami. "Tak larat nak bergaduh hari-hari kak", katanya. 

Akhirnya, Lis sendiri menjadi penat. Namun cinta masih membara. Kedengarannya seperti bodoh kerana mendambakan perhubungan yang sudah nyata ada penipuannya. Tapi, perasaan cinta itu terlalu unik, kesabaran Lis juga masih utuh dalam menghadapi persoalan itu. Siapakah yang empunya rasa, menganugerah CINTA, memberi KETAHANAN dan KEKUATAN seperti itu, kalau bukan YANG MAHA ESA?

Saya sendiri terasa lelah mendengar kisah rumahtangga mereka; pun di dalam hati sangat mengagumi Lis, hebatnya wanita ini, KESABARAN dan KETABAHANNYA. 

Allah... ya Allah.. KAU permudahkanlah dan anugerahkanlah RAHMAT MU pada sahabatku ini dan jadikanlah dia bakal bidadari di surgaMu kelak.

Credit photo by Along; Penang 2013
Padanya, ada pengajaran.... Berkongsi bagaimana Lis bisa teguh sedemikian rupa.

CINTA TIDAK SEMESTINYA BERTEMU
CINTA TIDAK SEMESTINYA BERSAMA
DIMENSI CINTA ADALAH UKURAN RASA, 
BUKAN JARAK YANG JAUH @ MASA YANG PANJANG @ PENDEK

Kenapa jiwa jadi resah , jadi gelisah? Kesusahan dan kegundahan yang ditemukan di dalam hidup dan kehidupan ialah disebabkan kerana HATI yang TIDAK BERHUBUNGAN dengan ALLAH, apalagi mata hati tidak melihat ALLAH dalam erti yang sangat luas lapangannya. Ada hubungan cinta dengan Allah, ada hubungan yang meliputi rasa takut dengan Allah, ada hubungan terasa kagum melihat keindahan Allah dan sebagainya. Kerana itu jagalah CINTA ALLAH, jangan sampai NAFSU terpengaruh dengan HATI. Segalanya akan terasa mudah...

Insya Allah.....

Monday, 2 February 2015

POLIGAMI @ HIDUP BERMADU DAN SEBUAH PERUMPAMAANNYA......

Salam bahagia buat semua pembaca yang dikasihi...

Baca saja pada tajuk entri saya kali ini, saya pasti saudara/saudari pembaca mungkinnya bakal menjalani poligami @ bermadu, sedang berpoligami atau sedang menimbang buruk baiknya kehidupan berkongsi suami. Semoga kalian dirahmati Allah. Hanya yang melaluinya, tahu rasa pahit manisnya. Apa jua takdirNya..., marilah kita melihat dari kacamata yang positif.

Di kesempatan hari ini , ingin saya panjangkan sebuah catatan yang saya kira cukup jujur dari seorang adik merangkap sahabat yang sangat saya kagumi kekuatan , kesabaran dan kematangan beliau. Hanya kerana sahabat manis saya ini, bangkit dalam seribu kepayahan, dan kemudiannya akur dan redha  dengan takdirNya.... Dan kini ketenangan itu miliknya, SUBHANALLAH...!!!

Jom kita fahami poligami ini secara real, secara jujur, apa yang kita rasa, kenapa dan mengapa......? Tidak seorang pun memilih untuk berkongsi suami dengan sesiapa, jodoh itu aturan Allah SWT. Kita berkongsi ibubapa dengan adik beradik, berkongsi gula-gula dengan kawan kawan. Itu satu perkongsian yang MEMBAHAGIAKAN.... Kasih sayang kita luhur dengan tulus ikhlas kepada adik beradik dan kawan kawan.

Berbeza amat jika berkongsi suami. Ya...! ada yang istimewa diberi rezeki berkongsi dengan seseorang yang mereka kenali dan kasihi, tapi majoriti perkongsian itu dengan ORANG ASING yang suami bawa dalam hidup seorang isteri yang selama ini setia dan menyayangi sepenuh hati.....

Sebab suami berpoligami punya macam macam cerita, tapi percayalah setiap lelaki normal impikan punyai isteri isteri kerana itu fitrah mereka. Kerana itu jugalah Allah sediakan bidadari iuntuk mereka 70 orang di surga. Di samping tangunggjawab yang besar diambil sebagai amanah Allah SWT, suami sangat bahagia bila impian beristeri lebih dari satu menjadi nyata. 

Bermulanya poligami juga dengan berbagai kisah, ada yang jujur meminta izin kasih isteri pertama untuk cinta kedua, ada yang sembunyi sembunyi hingga tak sanggup lagi menyimpan rahsia, ada yang mengikut sunnah dengan sedaya upaya adil dalam rumahtangga, ada yang cuma mengambil amanah Allah sekadar kepuasan batin semata.

Ironinya....., isteri pertama majoriti akan mengalami gangguan perasan seperti menghadapi satu KEMATIAN orang tersayang, rasa kehilangan, kesedihan dan lain lain rasa emosi yang sentiasa bersilih ganti dalam menerima kenyataan perkongsian suami telah bermula dalam hidup mereka. Bagi pasangan yang bahagia dan saling menyayangi antara satu sama lain, rasa kehilangan itu sungguh ketara, dan sangat menyiksakan. selalu berdua  ke mana mana, kini ada masa sendiri meneruskan kehidupan dengan anak- anak tercinta. Sedih, pilu, sayu dengan rasa kehilangan perlahan-lahan cuba di atasi dengan mendekatkan diri pada Yang Esa, dan mungkin juga berbagai cara pilihan sendiri untuk membalut luka. Insya Allah masa akan mengubati segala rasa. Di saat ini bantuan serta sokongan moral suami dan madu sangat sangat membantu untuk isteri pertama bangkit semula.

Sementelah...; isteri kedua mulanya akan merasa sangat bersyukur dan bahagia kerana impian untuk bersuami Allah izinkan. Namun poligami @ perkongsian suami bukan suatu yang mudah untuk dilalui oleh sesiapa pun. Isteri kedua umpama menerima kelahiran BAYI dengan perkongsian suami dan madu. Bayi itu adalah suami dan madu yang bakal memberi seribu cabaran dalam membesarkan mereka, ada bayi yang senang dijaga, tak banyak kerenah, ada bayi yang sakit, ada bayi yang suka menangis meraung dan macam macam lagi. Itulah hakikat isteri kedua; bayi yang diterima tidak boleh dibuang walau apapun terjadi. Bayi mesti dijaga dengan penuh sabar dan kasih sayang, mesti mempertahankan segalanya supaya bayi membesar sihat sejahtera.

Ianya satu proses yang berterusan, analogi kematian untuk isteri pertama, analogi kelahiran untuk isteri kedua, Hidup mesti diteruskan. Sungguh dalam berkongsi suami, hanya keimanan, kesabaran dan ketabahan yang maksima jadi pemangkin kebahagiaan semua; suami dan juga isteri isteri tercinta.
photo by my Idham; Cameron dec 2014

WALLAHU A'LAMMM....



Saturday, 15 November 2014

ISTERI CANTIK DAMBAAN SANG SUAMI

Kehidupan di dalam sebuah perkahwinan memang mencabar. Apatah lagi buat sang isteri, yang jiwanya ternyata sangat halus dan mudah dibuai emosi. Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Mana mungkin sebuah rumahtangga tidak pernah dilanda badai; kalau pun bukan badai tetap ada onak dan durinya. Sebuah perkahwinan, memerlukan pengorbanan, kekuatan dan keyakinan pada Yang Esa atas mahligai yang dibina demi mencari redhaNya. 

Sesekali jiwa rasa luluh pabila duga mendatang. Mulalah resah bertandang di hati. Namun kita punya pilihan untuk membiarkan ianya bersarang dalam diri atau menukar ia jadi bahagia. Saya selalu mencari ketenangan dengan pembacaan dan mendekatkan diri padaNya. Alhamdulillah, syukurrr... kerana saya terpilih menjadi seorang wanita yang bergelar "ISTERI".

"Betapa aku ingin menjadi isteri yang CANTIK di mata suami... akan ku usahakan"; bisik hatiku.

Just sharing this article; 


Aku Dikurniakan Isteri Secantik Dirimu


بِسْــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
Oleh:Syahidah

SUBHANALLAH!!!, Sungguh seorang wanita adalah cantik.


Kecantikan seorang isteri mengisikan kekosongan keteduhan dalam jiwa dan hati suami. Dia adalah peneduh yang tiada dapat terbeli dengan hitungan wang ringgit, kecuali hanya dengan kemuliaan sebuah mahar.

Kecantikan seorang isteri bukan hanya terletak di atas kehalusan kulit munggil dan wajah yang gebu semata-mata. Lebih dalam lagi, makhluk yang berada disekitarnya pun dapat merasakan kelembutan anugerah Allah yang ada dalam calon bidadari surga itu. Dia terpancar dalam keikhlasan pengabdian, keteduhan jiwa, kelembutan hati, tunduknya mata, halusnya ucapan, serta keindahan perilakunya.

Kecantikan seorang istri terletak dalam imannya. Dia sadar dan mengerti untuk apa dia hidup, dan dia mengerti mengapa dan kepada siapa dia harus mengabdi.

Kecantikan seorang isteri terletak pada lidahnya, iaitu ketika dia dapat merendam resah, amarah dan kesedihan sang suami dengan kata- kata indah yang menyejukkan hati. Memberikan layanan batin yang memberi  ketenangan sang suami.

Dan semua terasa istimewa apatah lagi apabila dia memberikan separuh jiwanya satu pengertian, bahkan mungkin dari pada dirinya sendiri. Kecerdasan belahan hatinya tersebut dalam mengatur kata dan kepintarannya dalam membaca situasi hati sang suami agar selalu tenang, menjadikannya “hadiah” yang tak ternilai. SUBHANALLAH!!!!

Kecantikan seorang isteri adalah dari penerimaannnya. Keredhaannya terhadap apa yang digariskan Allah sang maha pengatur dalam menerima suami apa adanya, serta bagaimana dia merawat serta berhati-hati dalam menyiasati kekurangan sang suami agar tersimpan rapi hanya sebagai aibnya saja, menjadikannya penasehat kepercayaan sang nahkoda rumah tangga.

Kecantikan seorang isteri terletak pada tangannya. Dengan tuntunan hati yang hanya karena Allah, dia menjadikan tangannya bukan hanya sebagai pemegang kekuasaan dan ratu di rumah, namun dia juga dapat menjadi penawar semua yang ada didalamnya, dalam kedamaian yang tak dapat terukur dan terbeli dengan apapun.

Kecantikan seorang isteri terletak di matanya. Kelembutan pandangan saat berada di antara keluarga dan atau ketika dia berhadapan dengan sesama makhluk menjadikan dia peneduh serta perwujudan kasih sayang Allah yang maha rahman.

Kecantikan seorang isteri terletak pada seberapa besar dia dapat menjaga rasa malunya. Dia tahu caranya menutup aib yang memang sudah tertutup rapi disimpan oleh Allah. Dia paham caranya agar tidak merosak kecantikannya sendiri dengan kata- kata kasar dan bebelan.

Dihindarinya membuat mati rasanya sang suami dengan semua kecerewetan dan tuntutan yang tidak wajar. Disimpannya dengan rapi kurniaan bakat genit, kecantikan tubuh dan kemanjaan sikap kerana hanya untuk dipersembahkan kepada yang paling berhak iaitu suami.

Kecantikan wanita terletak dalam kebijaksanaannya. Seorang istri memang mempunyai kudrat sangat hebat dalam mencintai dan membenci, yang ada kalanya tidak mengenal pertengahannya, namun dia masih mampu bersikap dengan santun dalam logik. Dunia semakin damai ketika dia tidak menghambur air mata dengan dalih itulah kudrat wanita. Tapi tempat pengaduan lantaran kepenatan dan lelah hanya kepada Yang Maha Esa untuk menyelesaikan.

Kecantikan seorang istri terletak dalam kesabarannya. Dia mendidik diri agar tidak menjadi sebagai sebuah cobaan bagi keluarga, khususnya sang suami. Kesabarannya menuntunnya untuk tidak mengundang  amarah dan kerapuhan perasaan di sembarang telinga. Kesabarannya juga terpancar dalam kehidupan sehariannya, yang menjadikan hari- hari adalah berkah untuk sang suami.
Mengalahnya adalah untuk ketenangan, dan kemenangannya adalah untuk kebahagiaan, bukan hanya untuk diri dan sesamanya, namun juga untuk semua insan yang ada disekitarnya. Menjadi pelayan bagi sang suami adalah sebuah keridhoaan, dan istri yang “cantik” sangat menyadari bahwa dirinya akan terlayani oleh kebaikan dari Allah SWT sebagai upahnya.

Kecantikan seorang wanita terletak pada kejujurannya. Ketepatan kata- kata dengan kenyataan tanpa harus menambah sesuatu konflik baru;  menjadikannya cantik dengan jujur, sangat alami dan apa adanya.

SUBHANALLAH!!! betapa wanita itu indah. Dan kecantikan abadi sang istri itu adalah tentang jiwanya. Keikhlasannnya mengabdi kepada suami hanya karena Allah yang tercermin secara zahir, tutur kata, sikap, dan perilaku. Bahkan Allah pun tersenyum melihat seorang hambanya yang sedemikian cantik sehingga dia kelak, insya Allah dikategorikan sebagai bidadari surga. Kecantikannya menuntun sang suami dengan sadar dan sepenuh hati berkata ” alhamdulillah, aku bersyukur mempunyai istri secantik dirimu”

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَٰلَمِين

Thursday, 19 September 2013

WANITA ITU...

ASSALAMUALAIKUM &
 GOOD MORNING!!!
Sementara menunggu van sekolahnya sampai, Umi & Izzat sempat lagi posing :)
Hari ini sekadar perkongsian satu sms yang saya terima dari sahabat saya Falakh (geng Mahaad Hamidiah), untuk dikongsikan bersama semua insan bergelar wanita:

Mengapa WANITA sering menangis?

Jawab Tuhan :

Kerana WANITA itu unik. Aku ciptakan ia sebagai makhluk istimewa
  • KU kuatkan bahunya untuk menjaga anak-anaknya
  • KU lembutkan hatinya untuk memberi rasa aman
  • KU kuatkan rahimnya untuk menyimpan benih manusia
  • KU teguhkan peribadinya untuk terus berjuang saat yang lain menyerah
  • KU beri dia naluri untuk tetap menyayangi, walau dikhianati oleh teman, walau disakiti oleh orang yang disayangi

Sampaikan pada WANITA yang kamu sayangi...

Khabarkan juga pada lelaki agar mereka menghargai WANITA dan agar tahu bahawa WANITA ciptaan Tuhan yang istimewa...

SALAM SAYANG SAYA BUAT SEMUA INSAN BERGELAR WANITA!!!



Wednesday, 8 May 2013

SEDARLAH BANGSAKU.....



MARILAH BERSAMA LUANGKAN MASA UNTUK MEMBACA TULISAN TUN MAHATHIR
MENGAPA TUN MAHATHIR SEDIH?

SAYA sedih. Bukanlah saya berharap kerana kesedihan sayan akan menarik simpati sesiapa. Hanya saya ingin menyatakan perasaan saya ; perasaan apabila melihat bangsa saya, orang Melayu, begitu sekali tidak tahu bersyukur, begitu sekali mudah lupa, begitu sekali mudah dipengaruhi dan diperalat oleh orang lain sehingga sanggup memburukkan bangsa sendiri.

Bagi generasi yang dilahirkan selepas merdeka, tentulah mereka tidak merasai sendiri kehinaan yang dialami oleh orang Melayu semasa mereka dijajah dahulu. Tetapi takkanlah mereka tidak baca sejarah bangsa mereka. Jika mereka sudah lupa, jika mereka tidak dapat memahami pahit maung, pedih perit bangsa dijajah, izinkan saya yang biasa dengan tiga penjajahan bercerita sedikit berkenaan orang Melayu semasa dijajah. Rata-rata mereka miskin, tidak berilmu pengetahuan, tidak memilikki apa-apa kecekapan, tidak terdaya mempertahan negeri-begeri mereka. Mereka terpaksa bertuankan orang putih Inggeris yang mereka terima sebagai Tuan mereka di negeri mereka sendiri. Mereka bukan tuan rumah. Mereka sebenarnya hamba rumah yang diduduki orang lain.

Orang putih, secara terbuka menyatakan orang Melayu adalah bodoh dan malas, tidak mampu menyumbang apa-apa kepada pembangunan negeri-negeri mereka. Mereka hanya layak jadi pemandu kereta dan orderly atau budak pejabat atau kerani. Mereka dianggap tidak berkebolehan melaksanakan apa-apa kerja yang dipertanggungjawab kepada mereka. Orang asing dari India dan Cina perlu dibawa masuk untuk mengatasi masalah Melayu malas dan tidak cekap.

Datang Jepun. Orang Melayu hilang jawatan perkeranian dan jawatan-jawatan rendah yang lain. Mereka terpaksa jadi penjual pisang di tepi jalan; kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Jika tidak tunduk serendah mungkin apabila lalu di hadapan askar Jepun, mereka dipaksa tatang ketulan batu yang besar sehingga mereka pening dan jatuh. Mereka diarah panjat pokok kelapa untuk dapatkan buah kelapa bagi askar Jepun. Jika gagal mereka ditempeleng dan terbongkok-bongkok meminta maaf daripada askar Jepun. Tanpa bertanya sedikit pun akan pandangan orang Melayu sebagai penilik negeri-negeri Melayu, Jepun menghadiahkan empat buah negeri Melayu, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Siam, kerana membalas budi Siam.

Di bawah pemerintahan Siam, orang Melayu diarah supaya menghormati lagu kebangsaan Siam dan bendera Siam. Saya lihat sendiri seorang orang tua Melayu yang tidak turun basikalnya semasa lagu kebangsaan Siam dimainkan, ditendang di kepala oleh askar Siam apabila lagu berhenti dan ia jatuh terlentang di atas jalan. Saya dan beberapa Melayu lain tidak berani menolong orang tua yang telah jatuh. Kami bangsa yang dijajah dan boleh ditendang oleh sesiapa yang menjajah bangsa kami. Jangan siapa tolong.

Kemudian, British kembali dan raja-raja Melayu diugut akan diturunkan dari takhta mereka jika tidak tandatangan perjanjian Mac Micheal supaya negeri-negeri Melayu diserah secara langsung kepada British. Dan raja Melayu pun tandatangan dan diturunkan pangkat kepada kadi besar negeri mereka.

Cadangan Melayan Union British bertujuan menamatkan negeri-negeri Melayu sebagai Tanah Melayu, milik orang Melayu. Ia akan jadi milik siapa sahaja yang mendapat taraf rakyat Malayan Union milik British.

Dalam keadaan orang Melayu begitu miskin, dhaif dan tidak berilmu pengetahuan, tidak memilikki apa-apa kecekapan, tidak mempunyai senjata, tidak tahu berniaga, sudah tentu mereka akan menjadi kuli dan hamba kepada orang lain yang lebih pintar, lebih cekap dan lebih kaya daripada mereka. Sudah tentu tidak akan ada Tanah Melayu, tanah tumpah darahnya orang Melayu. Mereka akan jadi bangsa yang tidak bernegara, tidak bertanah air. Tidak ada masa depan bagi mereka.

Alhamdulillah. Di saat itu mereka tiba-tiba sedar. Berkat beberapa kerat di antara mereka yang terpelajar yang tahu akan malapetaka yang menanti bangsa mereka, mereka ketepikan sikap kenegerian mereka dan kesetiaan kepada raja masing-masing atau kepada keturunan mereka. Mereka bersatu dan bangun menentang rancangan Malayan Union British. Perpaduan Melayu tumpat waktu ini, pendirian mereka tidak berbelah bahagi berkenaan penolakan Malayan Union memaksa British gugurkan rancangan mereka dan kembalikan negeri-negeri Melayu bersama Pulau Pinang dan Melaka yang dimilikki British kepada orang Melayu. Maka terselamatlah orang Melayu dan negeri mereka.

Malangnya sekembalinya sahaja Semenanjung Tanah Melayu ke tangan orang Melayu, maka bermulalah rebutan untuk nikmat yang datang dengan pemerintahan sendiri, khususnya untuk menjadi ahli dalam dewan-dewan negeri dan dewan undangan Persekutuan. Keahlian ini menjanjikan pangkat, elaun dan lain-lain kemudahan. Untuk bekerja sebagai budak pejabat memerlukan kelulusan tertentu. Tetapi untuk menjadi Yang Berhormat, Menteri, bahkan Perdana Menteri tidak memerlukan apa-apa sijil atau kelulusan.

Yang kecewa, yang tidak dapat nikmat yang dikejar lupa akan nikmat perpaduan dan mereka tinggalkan UMNO untuk tubuh kesatuan mereka sendiri. Dengan ini mereka akan dapat dicalon oleh parti mereka untuk bertanding dalam pilihanraya yang akan datang.

Kumpulan pertama yang menubuh parti serpihan terdiri daripada ulama dalam UMNO yang kecewa kerana permintaan mereka supaya 10 daripada mereka dicalonkan oleh Tunku Abdul Rahman ditolak olehnya dan hanya satu sahaja yang diberi kepada kumpulan ini.

Tetapi Tuhan Maha Kaya. Rata-rata orang Melayu terus menyokong UMNO yang mana ini memberi kemenangan kepada UMNO dan rakan-rakannya. Demikianlah besarnya sokongan ini sehingga British terpaksa serah kuasa kepada Perikatan ciptaan UMNO. Jika Parti Islam mendapat lebih daripada satu kerusi, nescaya kemerdekaan tidak tercapai pada 1957.

Tanpa merampas hak orang lain, pemerintahan yang tertunggak kepada Melayu berjaya membangunkan negara dan memberi kepada bangsa Melayu dan bumiputera lain pelajaran, latihan dan peluang yang tidak pernah dinikmati oleh mereka semasa mereka dijajah.

Berkat semua ini, maka terpulihlah maruah bangsa Melayu. Alhamdulillah.

Ramalan bahawa pemerintahan yang dipimpin Melayu ini akan merampas hak dan harta kaum lain tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya pimpinan yang diterajui Melayu berjaya memajukan negara sehingga dikagumi dunia.

Semua ini terang dan nyata. Dunia akui kebolehan orang Melayu yang memimpin Malaysia. Tetapi mereka belum sampai ke tahap bersaing dengan kaum lain terutama dalam bidang perniagaan dan perusahaan.

Malangnya kejayaan yang sedikit ini telah menjadikan mereka bongkak dan tamak. Rebutan kuasa antara mereka terus berlaku dan rebutan yang berpunca kepada ketamakan individu tertentu menyebabkan perpecahan dan serpihan daripada parti utama mereka.

Mereka kecewa kerana gagal merebut tempat menghasut ahli-ahli dan pemimpin kerdil untuk menyertai mereka, untuk menjayakan hasrat sempit mereka merebut kuasa, terutama untuk menjadi Perdana Menteri. Untuk ini mereka membohong, menyalah tafsir agama, menyokong orang lain yang tidak suka melihat orang Melayu walaupun sedikit kekayaan, kedudukan dan nikmat yang terdapat di negara ini.

Hasilnya ialah perpaduan Melayu diganti dengan perpecahan. Orang Melayu yang dahulu digeruni oleh British kerana kukuhnya perpaduan mereka, sekarang berpecah kepada tiga kumpulan kecil yang terpaksa mengemis untuk mendapt sokongan orang lain termasuk mereka yang menentang segala usaha untuk mengimbangkan kedudukan orang Melayu dengan kaum-kaum lain.

Sokongan orang lain ini tidak diberi secara percuma. Jika mana-mana daripada parti Melayu ini memenangi pilihanraya dan mendirikan kerajaan, tidak dapat tidak kerajaan ini kan terpaksa mengikuti telunjuk orang lain. Melayu tidak lagi menjadi tunggak kepada pemerintahan negara yang mereka rela berkongsi dengan orang lain. Mereka akan jadi puak minoriti dalam pakatan yang mereka sertai. Inilah yang akan terjadi hasil perpecahan orang Melayu.

Siapakah yang membawa malapetaka ini. tak lain tak bukan malapetaka ini dibawa oleh orang Melayu sendiri- orang Melayu yang tamak, orang Melayu yang kurang pintar, orang Melayu yang mudah dipengaruhi nafsu, yang mudah dikuasai oleh perasaan benci apabila dihasut.

Orang Melayu sudah lupa akan betapa hinanya mereka semasa dijajah dahulu. Mereka tidak pun mengakui akan nikmat yang banyak yang dinikmati oleh mereka setelah merdeka dan merdeka dan mereka menerajui Kerajaan-kerajaan Malaysia merdeka.

Oleh kerana lupa dan tidak bersyukur, mereka rela supaya perpaduan yang memberi kekuatan kepada mereka dimusnahkan. Mereka sanggup dipecah dan dipisah daripada kuasa yang sedikit yang ada pada mereka.

Sebab inilah yang saya sedih. Bangsa saya jelas tidak menangani kejayaan. Bangsa saya mudah lupa. Bangsa saya tidak tahu bersyukur. Bangsa saya tidak mengambil iktibar daripada nasib yang menimpa kaum sebangsa yang hari ini tinggal di wilayah yang dikuasai orang lain.

Jangan bersedih dan bersimpati dengan saya. Bersimpatilah dan bersedihlah dengan diri sendiri, dengan anak cucu yang akan alami masa depan yang gelap kerana kita tamak dan begitu benci kepada bangsa dan pemerintahan oleh kita sendiri.

Artikel daripada Utusan

Monday, 24 December 2012

SABARLAHHH...


Kerana sabar itu sebahagian daripada iman. Allah knows better..